ALOR SETAR: Lebih 3,000 jemaah memenuhi segenap ruang termasuk di kawasan perkarangan Masjid Zahir, di sini, pagi ini bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Solat sunat itu diimamkan Imam Besar Masjid Zahir, Sheikh Mohd Naim Ahmad, yang turut membacakan khutbah hari raya.

Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah turut berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri yang bermula pada jam 9 pagi bersama jemaah lain.

Baginda bersama Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff tiba di Masjid Zahir pada jam 8.45 pagi.

Ketibaan Sultan dan Sultanah Kedah disambut Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, dan barisan pentadbiran kanan negeri.

Turut berlangsung majlis penyampaian sumbangan duit raya kepada kanak-kanak sejurus selesai bacaan khutbah hari raya.