Lebih 400 pemilik syarikat pegawal keselamatan di negara ini dipercayai menyewakan lesen syarikat mereka kepada pihak ketiga bagi mengendalikan perkhidmatan itu.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, tindakan itu menyebabkan operasi industri berkenaan diihat kurang selamat selain tidak mematuhi piawaian yang betul.

Menurut beliau, perkara itu amat membimbangkan memandangkan operasi syarikat pihak ketiga itu tidak melalui proses yang ditetapkan termasuk semakan latar-belakang pekerja.

“Sebanyak 800 syarikat berkenaan telah berdaftar dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN), namun hanya lebih 300 syarikat sahaja yang benar-benar menjalankan beroperasi itu dengan cara yang betul.

“Selebihnya mereka dipercayai menyewa lesen itu kepada pihak ketiga dan ada juga pihak ketiga menyewa lesen itu kepada pihak lain.

“Jadi tidak mustahil pengawal keselamatan yang dipilih pihak tertentu dari kalangan warga asing lain meskipun kerajaan menetapkan hanya rakyat Nepal sahaja dibenarkan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Isnin.

Terdahulu beliau hadir dalam majlis Mesyuarat Agong Tahunan pertama Persatuan Industri Keselamatan Selangor dan Wilayah Persekutuan (SWiSS).

Mengulas lanjut, Musa yang juga Pengerusi SWiSS berkata, melihat kepada masalah yang wujud dalam industri itu, beliau komited menubuhkan persatuan berkenaan untuk memastikan semua syarikat pengawal keselamatan berada pada landasan yang betul.

“Penubuhan persatuan ini bukan untuk bersaing dengan mana-mana syarikat pengawal keselamatan lain atau Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM), sebaliknya membantu memperkasakan industri itu pada tahap yang lebih selamat.

“Selain itu, SWiSS juga berperanan untuk menyediakan latihan kepada pengawal keselamatan termasuk mengetengahkan penggunaan teknologi dan inovasi,” jelasnya.