KUALA LUMPUR: Seramai 43,406 mangsa banjir masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga negeri yang dilanda banjir setakat 8 malam ini.

Di JOHOR, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa banjir di negeri itu menurun kepada 40,129 orang malam ini berbanding 49,543 petang tadi manakala 51 PPS ditutup hari ini.

Menurut jawatankuasa itu, kesemua mangsa daripada 11,210 keluarga itu ditempatkan di 216 PPS termasuk tiga yang baharu dibuka hari ini.

Daripada sembilan daerah dilanda banjir di Johor, tiga yang paling teruk terjejas ialah Batu Pahat dengan 21,854 mangsa diikuti Segamat (4,913 orang) dan Muar (4,098 orang).

JPBN memaklumkan keadaan banjir di daerah Segamat dilihat semakin pulih berbanding Batu Pahat yang terus mencatat peningkatan jumlah mangsa.

Jumlah mangsa banjir di MELAKA menurun sedikit kepada 593 orang setakat 8 malam ini berbanding 597 orang pada sebelah petang melibatkan 160 keluarga di lima PPS.

Sekretariat JPBN dalam satu kenyataan memaklumkan PPS Balai Raya Bukit Tambun di Alor Gajah telah ditutup pada 2 petang tadi selepas banjir di daerah itu pulih sepenuhnya dan kesemua mangsa kembali ke rumah masing-masing.

Di PAHANG, aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan jumlah mangsa banjir di negeri itu menurun kepada 2,684 orang yang ditempatkan di 19 PPS malam ini berbanding 2,888 orang di 20 PPS petang tadi.

Daerah Rompin mencatatkan jumlah mangsa seramai 2,671 orang manakala Maran 13 orang.

Sekretariat JPBN memaklumkan banjir di Temerloh telah pulih dan PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Semantan ditutup pada 4 petang tadi.

Laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan air Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan dan Sungai Keratong di Rompin masih melebihi paras bahaya malam ini.

-- BERNAMA