MALAYSIA

Lebih 5,000 rumah RMR dibina tahun ini - Aiman Athirah

Bernama 28/09/2025 | 09:00 MYT
Aiman Athirah (tiga, kanan) menyantuni penerima kunci Rumah Mesra Rakyat (RMR), Mazrina Mohd Dahab@Haidu pada Majlis Penyerahan Kunci RMR di Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Kampung Baru Kiri, Kemasik, hari ini. - Foto Bernama
KERTEH: Sebanyak 5,450 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) akan dibina di seluruh negara pada tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM504 juta, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu.


Ringkasan AI
  • Sebanyak 5,450 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) akan dibina tahun ini dengan peruntukan RM504 juta, termasuk subsidi RM20,000 dan pinjaman tanpa faedah RM55,000 oleh pemohon.
  • Kelantan dan Terengganu mencatat jumlah tertinggi rumah RMR siap dibina, masing-masing melebihi 11,000 dan 10,200 unit.
  • Sebanyak 183,522 permohonan diterima sejak 2002, dengan 74,563 diluluskan dan kira-kira 65,000 lagi masih dalam proses semakan dan penilaian kelayakan.


Beliau berkata sebanyak 2,766 unit rumah telah siap dibina oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) manakala 1,310 unit rumah sedang dibina setakat 31 Ogos lepas.

Selain itu katanya, sebanyak 1,374 unit rumah lagi dalam proses untuk diserahkan kepada kontraktor.

"Subsidi yang diberikan ialah RM20,000 manakala selebihnya RM55,000 itu ditanggung oleh pemohon sendiri melalui pinjaman tanpa faedah dengan SPNB," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci RMR di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Aiman Athirah berkata Kelantan mencatat jumlah tertinggi permohonan bagi pembinaan RMR, iaitu lebih 11,000 unit rumah telah disiapkan dan diikuti Terengganu melebihi 10,200 unit.

Dalam pada itu, Aiman Athirah berkata sebanyak 183,522 permohonan bagi program RMR diterima dari 2002 hingga Ogos lepas, dengan 88,197 daripadanya merupakan permohonan lengkap dan 74,563 telah diluluskan selepas memenuhi syarat yang ditetapkan.

Beliau berkata masih terdapat kira-kira 65,000 lagi permohonan dalam proses pendaftaran serta semakan sebelum disenaraikan untuk kelulusan.

"Proses permohonan dijalankan melalui beberapa peringkat bermula dengan memastikan dokumen lengkap dan diikuti penilaian kelayakan. Antara syarat utama ialah pemohon perlu berada dalam kumpulan berpendapatan rendah, iaitu RM5,000 ke bawah, tidak memiliki rumah sendiri atau mendiami rumah usang serta mempunyai tanah yang boleh dibangunkan.

"Keutamaan turut diberikan kepada pemohon yang sudah berkeluarga, tetapi belum memiliki rumah. Bagi 65,000 permohonan yang masih dalam proses, kita sedang membuat senarai pendek dan pada masa sama, di bawah Mesyuarat Perumahan Mampu Milik Negara baru-baru ini, komitmen telah diberi untuk menyelesaikan baki permohonan dengan kerjasama agensi berkaitan," katanya.

-- BERNAMA





#Rumah Mesra Rakyat #Syarikat Perumahan Negara Berhad #Aiman Athirah #subsidi #Kerteh