KUALA LUMPUR: Sebanyak 54,055 aduan kerosakan jalan diterima melalui aplikasi MYJalan bagi tempoh Ogos 2023 hingga Januari 2026, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 16,671 aduan atau 30.8 peratus melibatkan Jalan Persekutuan, lebuh raya dan jalan negeri di bawah seliaan Kementerian Kerja Raya (KKR) manakala selebihnya membabitkan jalan di bawah kementerian atau agensi lain.
Advertisement
“Di bawah KKR, (aduan yang) dalam siasatan ada 1,511, sudah selesai 15,160 (aduan). Walaupun bukan jalan di bawah kami, kami hantar aduan itu ke kementerian atau agensi yang berkaitan.
“Jadi kami dalam kerajaan yang sama, maka kami saling membantu untuk menyelesaikan masalah rakyat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) yang meminta data terkini mengenai aduan yang diterima melalui aplikasi MyJalan, termasuk jumlah yang telah diselesaikan serta sama ada KKR turut mengendalikan aduan berkaitan kementerian lain.
Ahmad berkata KKR mengamalkan pendekatan “dasar tiada pintu yang salah”, iaitu semua aduan akan diterima tanpa mengira kategori jalan sama ada jalan bandar, jalan kampung, jalan pertanian, jalan di Sabah dan Sarawak atau jalan persendirian.
Menjawab soalan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) berhubung pelan penyelenggaraan berkala dan langkah pencegahan bagi mengelakkan kerosakan jalan berulang yang menjejaskan keselamatan awam, Ahmad berkata KKR melaksanakan penyelenggaraan Jalan Persekutuan secara rutin dan berkala.
Beliau berkata penyelenggaraan rutin itu melibatkan kerja-kerja seperti penampalan lubang, penyelenggaraan longkang, bahu jalan, pemotongan rumput serta kerja berkaitan keselamatan jalan.
Ahmad berkata pelaksanaan kerja itu dibuat mengikut pusingan yang telah ditetapkan dalam perjanjian penswastaan dan dilaksanakan oleh syarikat konsesi yang dilantik di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“… manakala bagi kerja penyelenggaraan berkala pula terbahagi kepada dua iaitu penyenggaraan berkala turapan dan bukan turapan dan kerja-kerja penyenggaraan berkala ini akan dijalankan berdasarkan kepada kelulusan peruntukan dari semasa ke semasa,” katanya.
-- BERNAMA