SINGAPURA: Lebih 60 dialek dan 150 subdialek Kadazandusun dimuatkan ke dalam Wikipedia, ensiklopedia percuma terbesar di dunia, setakat ini.

Presiden Kumpulan Komuniti Pengguna Wikimedia Malaysia Dody Ismoyo berkata dialek berkenaan melibatkan antaranya daripada etnik Bundu, Liwan, Talantang, Lobu, Tindal dan Tangara.

Beliau berkata antara perkataan yang dimasukkan ke dalam Wikipedia ialah "walai" oleh masyarakat Bundu dan Liwan serta "hamin" (Tangara/Kadazan) yang bermaksud rumah.

"Pendekatan digitalisasi ini amat penting terutama berkaitan kosa kata bahasa daripada kaum-kaum etnik yang semakin kurang digunakan oleh generasi muda di Malaysia.

"Saya harapkan lebih ramai lagi individu, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk sama-sama membantu Wikimedia Malaysia dalam usaha memartabatkan semua bahasa daripada pelbagai kaum dan etnik di Malaysia supaya tidak pupus," katanya kepada Bernama di sini semalam.

Beliau ditemui selepas perasmian Kelab Wiki Kent pada Persidangan Wikimania 2023 di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec di sini yang dirasmikan Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent Sabah Dr Hamidah Samsudin.

Sementara itu, Hamidah berkata penubuhan kelab itu bertujuan memperkasakan bahasa Kadazandusun, selain memperkenalkan dan mempromosikan bahasa itu ke peringkat antarabangsa.

"Wikipedia ini merupakan satu daripada saluran yang sangat cepat untuk menyampaikan maklumat, jadi kami melihat peluang ini amat sesuai untuk diusahakan IPG Kent Sabah kerana mempunyai bakal pendidik yang sudah terlatih dalam bahasa Kadazandusun," katanya.

Persidangan Wikimania 2023 edisi ke-18 yang berlangsung dari 16 hingga 19 Ogos ini, menghimpunkan lebih 3,000 perwakilan dari 138 negara untuk meraikan "Wikimedians" dan sukarelawan yang menyumbang kepada projek Wikipedia.

-- BERNAMA