Skip to main content

Malaysia

Lebih 600 anak Orang Asli lanjut pengajian di universiti, kolej - TPM Ahmad Zahid

[TB]_Zahid Hamidi KSOA 2026_FB Zahid Hamidi
Ahmad Zahid berucap pada Karnival Sukan Orang Asli (KSOA) Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri, hari ini.
Advertisement

ISKANDAR PUTERI: Lebih 600 anak Orang Asli kini melanjutkan pengajian di universiti dan kolej di seluruh negara, sekali gus mencerminkan peningkatan ketara penyertaan komuniti berkenaan dalam pendidikan tinggi dan membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap aspek pendidikan golongan itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pencapaian tersebut adalah antara hasil penekanan kerajaan terhadap pendidikan sebagai instrumen penting dalam meningkatkan mobiliti sosial masyarakat Orang Asli.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, ketika Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) diletakkan di bawah kementeriannya empat tahun lepas, sasaran awal ditetapkan supaya 200 anak Orang Asli berjaya memasuki institusi pendidikan tinggi.

“Pada tahun pertama, cabaran itu diterima. Bukan sekadar 200 orang yang masuk ke universiti, tetapi jumlah itu melebihi 300 Orang Asli yang masuk ke universiti pada tahun berkenaan.

“Tahun kedua, cabaran itu saya tingkatkan kepada 300. Jelas bahawa pencapaian anak-anak Orang Asli yang masuk ke universiti meningkat kepada 400 orang pada tahun yang kedua,” katanya ketika berucap pada Karnival Sukan Orang Asli (KSOA) Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di EduCity Sports Complex, di sini, hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Ahmad Zahid berkata, pencapaian lebih 600 pelajar pada tahun ini membuktikan bahawa masyarakat Orang Asli mempunyai keupayaan untuk terus maju sekiranya diberi peluang serta sokongan pendidikan yang sewajarnya.

“Ini merupakan satu mobiliti sosial yang baik kerana pendidikan ialah satu elemen untuk menaikkan taraf sosial mana-mana masyarakat di dunia,” katanya.

Beliau berkata usaha memperkasakan pendidikan masyarakat Orang Asli turut diperluas kepada bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi penyediaan institusi khusus bagi komuniti berkenaan.

Ahmad Zahid berkata, antaranya ialah Pusat Latihan Paya Bungor di Maran, Pahang yang kini menempatkan 135 anak Orang Asli mengikuti program TVET yang menyediakan program jangka pendek dan jangka panjang.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menghargai komitmen Kerajaan Negeri Johor yang menyediakan peruntukan RM600,000 kepada 60 kampung Orang Asli di negeri ini, bersamaan dengan RM10,000 bagi setiap kampung.

Beliau juga menyuarakan harapan supaya jumlah berkenaan dapat ditingkatkan dalam Belanjawan Johor bagi tahun hadapan.

Ahmad Zahid turut menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas pelantikan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Skudai, Marina Ibrahim sebagai Pegawai Khas yang menjaga hal ehwal Orang Asli di bawah Yayasan Sultan Ibrahim.

Beliau berkata, pelantikan itu mencerminkan keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap kebajikan dan pembangunan masyarakat Orang Asli di Johor.

– BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement