BESTARI JAYA: Lebih 6,000 pengunjung memeriahkan Karnival Cemara Seni 2026 yang berlangsung selama empat hari bermula 7 hingga 10 Mei lalu di Selangor Fruit Valley, sekali gus menjadikan lokasi agropelancongan itu sebagai pentas bakat dan kreativiti murid sekolah di Selangor.
Karnival anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPN Selangor) itu merupakan penganjuran tahun kedua, mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperkasa pembangunan bakat seni dan kreativiti murid menerusi platform yang inklusif serta berimpak tinggi.
Pemilihan Selangor Fruit Valley sebagai lokasi penganjuran memberikan pengalaman berbeza kepada para peserta apabila elemen alam semula jadi dan persekitaran agropelancongan disepadukan dalam aktiviti seni serta persembahan sepanjang karnival berlangsung.
Sepanjang program, para peserta menampilkan pelbagai karya dan persembahan berkualiti tinggi yang mencerminkan tahap kreativiti, keyakinan diri serta potensi besar generasi muda dalam bidang seni persembahan dan kebudayaan.
Antara kategori yang dipertandingkan ialah Nyanyian Solo Lelaki dan Perempuan, Nyanyian Duo, Tarian Etnik Kreatif kategori Trio, serta Pertandingan Dendangan Syair yang mengetengahkan elemen warisan dan budaya tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Mohamad Khairil Mohamad Razi, dalam ucapan penutupnya menyatakan rasa bangga terhadap semangat dan komitmen yang ditunjukkan para pelajar.
“Selangor Fruit Valley telah menjadi saksi kepada cetusan kreativiti, keringat dan semangat juang anak-anak muda kita. Pengalaman berkarya di lokasi unik ini merupakan satu anugerah yang tidak dapat dijual beli,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menyatakan harapan platform seperti Karnival Cemara Seni akan terus menjadi medium penting dalam mencungkil serta mengembangkan potensi generasi muda, sekali gus melahirkan lebih ramai bakat seni untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Karnival itu menyaksikan penyertaan seramai 1,872 murid daripada 275 sekolah di seluruh Selangor, dengan pengurusan program disokong oleh 82 urus setia, 121 guru pengiring berdaftar serta 120 pegawai teknikal daerah bagi memastikan kelancaran pelaksanaan di lapangan.
Sebagai pengiktirafan, pemenang Johan, Naib Johan dan Tempat Ketiga menerima sijil pencapaian, medal dan wang tunai, manakala pemenang tempat keempat dan kelima menerima sijil, medal serta hamper. Peserta lain turut dianugerahkan sijil penyertaan sebagai tanda penghargaan.
PKPS turut berharap Karnival Cemara Seni 2026 akan terus menjadi program ikonik dalam kalendar pendidikan negeri Selangor.
Penganjuran karnival berkenaan turut membuktikan pembangunan bakat seni boleh digerakkan di luar bilik darjah melalui pendekatan berasaskan pengalaman, sekali gus membuka ruang kepada murid membina keyakinan diri melalui platform seni yang kompetitif.
Majlis penutup Karnival Cemara Seni 2026 disempurnakan oleh Pengarah Pendidikan JPN Selangor, Datin Wan Nor Ashikin Abu Kassim.
Karnival itu turut diserikan dengan kehadiran artis jemputan termasuk Yassin dan Wahid (Senario), Zaki Yamani serta Miss World Malaysia 2024/2025, Taanusiya Chetty.