PUTRAJAYA: Jumlah Orang Kurang Upaya (OKU) berdaftar sehingga 2022 adalah sebanyak 674,548 orang iaitu dua peratus daripada jumlah penduduk Malaysia.

Ketua Perangkawan Negara Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan pada Rabu berkata jumlah itu adalah lebih rendah berbanding anggaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di peringkat global.

"WHO telah menganggarkan sejumlah 1.3 bilion orang mengalami kecacatan yang ketara sehingga Mac 2023 iaitu 16 peratus daripada populasi penduduk dunia," katanya.

Beliau berkata seramai 245,015 OKU atau 36.3 peratus yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat tergolong dalam kategori OKU fizikal diikuti kategori masalah pembelajaran sebanyak 35.1 peratus, masalah penglihatan (8.8 peratus) manakala masalah pertuturan mencatatkan pendaftaran terendah iaitu 0.5 peratus.

Mohd Uzir berkata bilangan OKU yang menerima rawatan kesihatan meningkat daripada 2,580 orang pada 2021 kepada 3,940 orang pada 2022 dengan kategori masalah pembelajaran mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 81.3 peratus.

Dalam sektor guna tenaga, beliau berkata penjawat awam OKU yang berkhidmat pada 2022 meningkat daripada 3,694 kepada 3,724 berbanding tahun sebelumnya, dengan OKU yang mengalami kecacatan fizikal mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 2,551 orang.

Sementara itu, menurutnya jumlah OKU yang berkhidmat bagi sektor swasta pada 2022 adalah seramai 3,186 individu iaitu peningkatan ketara daripada 1,377 orang pada 2021.

Kategori pekerja perkhidmatan dan jualan merekodkan jumlah tertinggi OKU iaitu 956 orang, diikuti juruteknik dan profesional bersekutu (363 orang) dan profesional (276 orang).

Bagi perkhidmatan kebajikan, Mohd Uzir berkata terdapat tiga institusi utama bagi OKU di negara ini iaitu Taman Sinar Harapan dan Bengkel Daya di bawah JKM serta Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan yang ditubuhkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Beliau berkata pada 2022 seramai 798 OKU menghuni di Taman Sinar Harapan dan 78 orang OKU berdaftar sebagai pelatih di Bengkel Daya, manakala Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan, Bangi telah menerima sejumlah 80 pelatih OKU untuk pelbagai skim latihan.

-- BERNAMA