KUCHING: Sarawak telah mencapai liputan imunisasi COVID-19 yang tinggi dalam kalangan penduduk dewasa yang layak iaitu 86.7 peratus bagi dos pertama dan 66.6 peratus dos kedua, setakat 31 Julai ini.

Berdasarkan data itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed yakin, lebih 70 peratus golongan dewasa di Sarawak akan lengkap menerima vaksin COVID-19 pada penghujung Ogos ini.

Menurutnya, purata kes juga menurun kepada 383 kes sehari pada bulan Julai berbanding 584 kes dan 538 kes pada bulan Jun serta Mei 2021.

"Walaupun terdapat peningkatan kes pada minggu ini (dari 25 Julai hingga 31 Julai 2021) iaitu 450 kes baharu sehari namun kebanyakan kes yang dikesan adalah tertumpu di beberapa daerah terutamanya di Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian.

"Peningkatan kes di bahagian tersebut hasil saringan bersasar dan kontak rapat kepada kes positif yang telah dilaksanakan secara besar-besaran,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Jelas Dr Sapian, liputan vaksinasi yang tinggi penting dalam usaha membendung transmisi jangkitan dalam kalangan komuniti dan memberi impak positif terhadap bilangan kes baharu yang dikesan serta kadar kematian akibat jangkitan COVID-19.

Katanya, pada Julai 2021 purata 45 kes kematian dilaporkan berbanding 83 kes pada Jun.

Selain itu, bilangan kes yang memerlukan pemantauan dan rawatan rapi di hospital juga berkurangan sejajar dengan peningkatan mendadak liputan imunisasi COVID-19 di Sarawak sejak Jun 2021.

"Bilangan kes Kategori 4 (radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen) dan Kategori 5 (kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan) berkurangan daripada purata 268 kes sehari pada Jun kepada 150 kes sehari pada Julai 2021," katanya.

Justeru JKNS menyeru orang ramai yang masih belum menerima dos pertama vaksin atau belum menerima janji temu imunisasi COVID-19, agar segera menghubungi Pejabat Residen, PPV atau Klinik Kesihatan berhampiran untuk mendapatkan tarikh janji temu atau dos pertama vaksinasi.