Lebih 80 ladang babi di Tanjong Sepat telah ditutup setakat ini - Exco

Izham berkata, kerajaan negeri telah memaklumkan dasar berhubung pengurusan ladang kepada pengusaha terlibat dan menegaskan bahawa aktiviti penternakan tidak boleh diteruskan di lokasi tertentu. - Gambar hiasan/Sinar Harian
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor giat menjalankan pengosongan ladang ternakan babi dengan hanya lebih 30 ladang masih beroperasi di Kuala Langat berbanding 115 yang dilaporkan sebelum ini, susulan langkah penambahbaikan pengurusan penternakan.
Ringkasan AI
- Kerajaan Negeri Selangor giat jalankan pengosongan ladang ternakan babi di Kuala Langat; hanya lebih 30 ladang beroperasi berbanding 115 sebelum ini.
- Langkah penambahbaikan pengurusan penternakan dilaksanakan demi kesihatan awam dan alam sekitar, serta untuk memastikan industri lebih teratur dan mampan.
- Selangor sasarkan peningkatan hasil padi hingga tujuh hingga lapan tan bagi satu hektar tanaman dengan pendekatan baharu, termasuk penglibatan sektor korporat dalam pengurusan sawah.
"Kita mahu uruskan industri ini dengan lebih baik demi kepentingan semua pihak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Pemegang Saham antara TNB Engineering Corporation Sdn Bhd (TNEC) dan PKNS FM Integrated Sdn Bhd (PFMI) di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini, pada Jumaat.
Izham berkata, penambahbaikan itu dilihat sangat perlu ekoran penternakan yang tidak diurus secara mampan berisiko mengundang pelbagai masalah termasuk penularan penyakit yang akhirnya merugikan industri itu sendiri.
Beliau berkata, kerajaan negeri telah memaklumkan dasar berhubung pengurusan ladang kepada pengusaha terlibat dan menegaskan bahawa aktiviti penternakan tidak boleh diteruskan di lokasi tertentu.
Bagaimanapun, katanya, tempoh munasabah bagi tujuan pengosongan dan pemindahan ladang secara berperingkat dan tersusun telah diberikan kepada penternak.
Selain itu, beliau berkata, isu penyakit berkaitan ternakan babi di negeri itu setakat ini hanya membabitkan Demam Babi Afrika (ASF) yang tidak berjangkit kepada manusia dan bukannya Virus Nipah.
Dalam pada itu, Izham berkata, Selangor menyasarkan peningkatan hasil padi kepada sekurang-kurangnya tujuh hingga lapan tan bagi satu hektar tanaman bagi memastikan pengeluaran lebih mampan.
Katanya, usaha itu akan dilakukan menerusi pendekatan baharu berimpak tinggi termasuk kaedah pengurusan sawah berskala besar.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga merancang untuk mengadakan perbincangan dengan kementerian berkaitan serta syarikat swasta bagi menggalakkan penglibatan sektor korporat dalam pengurusan sawah.
"Ketika ini subsidi padi mencecah RM1.28 bilion setahun dan kita melihat keperluan untuk menyusun semula sebahagian daripada subsidi itu sebagai insentif kepada syarikat yang bersedia bekerjasama dengan pesawah," katanya sambil menambah antara isu dikenal pasti ialah ketidakpatuhan perjanjian apabila terdapat pesawah yang tidak menjual hasil kepada syarikat walaupun telah menerima bayaran pendahuluan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


