Lebih 900 pengunjung terkandas di Bukit Bendera berjaya dibawa turun

Siti Norbaya Abidin
Disember 22, 2019 01:45 MYT
Operasi membawa turun pengunjung yang terjejas bermula jam 8.30 malam dan tamat sepenuhnya kira-kira jam 1.03 pagi. Foto JBPM Pulau Pinang
Kesemua pengunjung Bukit Bendera yang terkandas apabila perkhidmatan kereta api funikular yang tergendala malam tadi berjaya dibawa turun ke stesen bawah dengan selamat.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata kesemua mangsa seramai 966 orang dibawa turun menaiki pacuan empat roda ke Taman Botani.
Mereka kemudiannya dibawa menggunakan bas untuk tiba ke stesen bawah Bukit Bendera untuk ke kenderaan masing-masing.
"Secara keseluruhannya seramai 966 pengunjung terjejas yang membabitkan 793 pengunjung dari stesen atas dan 173 pengunjung dari stesen tengah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
"Kesemua mereka terkandas selepas kereta api funikular itu terkandas di stesen tengah," katanya.
Operasi membawa turun pengunjung yang terjejas bermula jam 8.30 malam dan tamat sepenuhnya kira-kira jam 1.03 pagi.
BACA: 150 pengunjung Bukit Bendera terkandas, perkhidmatan funikular rosak
VIDEO: Agong, Raja Permaisuri lawat The Habitat, Bukit Bendera
Semalam Perbadanan Bukit Bendera (Penang Hill Corporation atau PHC) dalam satu kenyataan memohon maaf atas kesulitan yang dialami para pengunjung pusat peranginan itu akibat kereta api funikular tersebut tergendala berpunca daripada masalah kerosakan sistem.
Pasukan operasi PHC sedang bekerja keras bagi mengatasi masalah itu.
VIDEO: Sistem kereta kabel baharu Bukit Bendera mampu rancak ekonomi negeri
#Bukit Bendera #JBPM #kereta api funikular #kerosakan sistem #pacuan empat roda #pengunjung #PHC #stesen bawah #tergendala #terkandas