KUALA LUMPUR: Pemberian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 kepada setiap murid secara sekali bayar kini sudah mencapai lebih 95 peratus, kata Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.

Beliau berkata baki bantuan berkenaan akan disalurkan pada minggu ini sebelum cuti akhir persekolahan sesi 2023/2024 bermula Jumaat ini.

"Kesemua wang bantuan telah pun disalurkan ke sekolah-sekolah dan mereka sedang dalam usaha untuk menyalurkan semua bantuan ini kepada ibu bapa atau penjaga," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Cek Cura BAP Tahun 2024 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) di Sekolah Kebangsaan St Mary di sini hari ini.

BAP berjumlah RM30,434,850 itu diserahkan kepada Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, RM15,340,800 kepada Pejabat Pendidikan daerah Bangsar Pudu, RM7,928,700 kepada Pejabat Pendidikan daerah Sentul dan RM7,165,350 kepada Pejabat Pendidikan daerah Keramat.

Sehingga kini, sebanyak RM702,012,500 daripada jumlah yang diperuntukkan pada Belanjawan 2024 untuk tujuan BAP iaitu RM788,130,000, telah selesai diagihkan kepada semua sekolah.

Bantuan berjumlah RM150 bagi setiap pelajar tahun satu hingga tingakatan lima itu adalah bagi membantu meringankan beban golongan ibu bapa dan penjaga dalam melakukan persiapan membeli barangan keperluan pelajar untuk sesi persekolahan akan datang.

Selain itu, dalam usaha memperkukuh bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam negara, Wong berkata kerajaan memperuntukkan RM100 juta tahun ini bagi memperbaik makmal sains dan komputer di beberapa sekolah menengah di seluruh negara serta penganjuran program perintis kluster STEM.

Namun, menurut beliau perkara itu masih dalam proses dan pihaknya sedang menyenaraikan sekolah menengah yang perlu diberi perhatian dan yakin usaha ini dapat membantu kementerian mencapai sasaran 60 peratus pelajar STEM menjelang 2030.

Wong berkata daripada peruntukan RM100 juta, RM40 juta akan digunakan untuk menaik taraf 301 makmal komputer dengan anggaran kos RM150,000 setiap satu makmal, manakala RM40 juta lagi untuk menaik taraf 200 makmal sains dengan anggaran kos berjumlah RM200,000 setiap satu.

Beliau berkata RM10 juta akan digunakan masing-masing untuk pembelian peralatan STEM sekolah-sekolah menengah dan penganjuran program kluster STEM yang merupakan satu program perintis di Perak dan Selangor, dan pihaknya menjangkakan sebanyak 2,456 sekolah bakal menerima manfaat menerusi peruntukan itu.

Beliau berkata setakat ini, Perlis menduduki tangga teratas penglibatan pelajar dalam bidang STEM iaitu sebanyak 60 peratus, diikuti Kuala Lumpur dengan 52.55 peratus.

Pada tahun ini, Wong berkata pihaknya akan meletakkan Indeks Prestasi Utama (KPI) bagi setiap Jabatan Pendidikan Negeri untuk memantau prestasi dan isu pendaftaran pelajar dalam bidang STEM.

-- BERNAMA