PUTRAJAYA:Lebih RM1 bilion diperuntuk bagi pembinaan rumah untuk golongan B40 dan M40 pada tahun ini melalui projek Program Perumahan Rakyat (PPR), Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin berkata sebanyak RM500 juta diperuntuk bagi membina 14,000 unit kediaman bagi projek PPR, RM315 juta bagi membina 3,000 unit RMR dan RM310 juta bagi pembinaan PPAM pada 2021.

Beliau berkata PRIMA menyasarkan pembinaan 15,577 unit rumah pada tahun ini manakala Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) akan menyiapkan 12 projek kediaman sedia ada yang merangkumi 4,380 unit selain merancang melaksanakan 11 lagi projek merangkumi 7,407 unit rumah.

"RM125 juta pula diperuntuk bagi kerja-kerja penyelenggaraan perumahan berstrata kos rendah dan sederhana rendah serta membaik pulih rumah usang atau rosak akibat bencana alam," katanya pada majlis Amanat Tahun Baharu kementeriannya hari ini yang disiarkan secara dalam talian.

Pada 2020, Zuraida berkata sebanyak 14,547 unit rumah untuk golongan B40 dan M40 disiapkan, yang melibatkan 3,120 unit PPR, 5,043 unit PPAM, 5,931 unit rumah PRIMA dan 453 unit RMR.

Beliau berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut melaksanakan program penyelenggaran perumahan kos rendah berstrata melibatkan 43,163 unit rumah di bawah Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM), 20,536 unit rumah di bawah Program Penyenggaran Perumahan (PPP) dan 1,645 unit kuarters di bawah Program Penyelenggaran Kuarters.

Sementara itu, Zuraida berkata KPKT menyasarkan kadar kitar semula sebanyak 32 peratus tahun ini susulan kejayaan mencapai kadar 30.6 peratus, melepasi sasaran 30 peratus yang ditetapkan pada 2020.

"Dalam Belanjawan 2021, KPKT menyediakan sebanyak RM10 juta sebagai bantuan kewangan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang kurang berkemampuan untuk pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam," katanya.

Beliau berkata kutipan sisa kitar semula dijangka meningkat semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 memandangkan orang ramai mempunyai lebih banyak masa di rumah.

"Jadi, kita ambil peluang ini (PKP) untuk gunakan ahli majlis PBT dan pasukan penggerak kita untuk turun ke bawah memberikan taklimat bagaimana melaksanakan program-program pengasingan (sampah) dan kitar semula," katanya.

Zuraida juga berkata Dasar Kebun Komuniti akan dilancarkan tahun ini bagi mengoptimumkan penggunaan tanah di bandar dengan sasaran satu projek PPR, satu kebun komuniti.

Beliau berkata ia merupakan kesinambungan kepada Program Kebun Komuniti Bandar yang dipergiat melalui Pejabat Sekretariat Muafakat Komuniti (PSMK) melibatkan 304 peserta daripada 14 PPR tahun lepas.

"Kebun komuniti di PPR Pak Mahat, Kuantan telah berjaya menghasilkan lebih 450 kilogram sayur-sayuran seperti terung, kangkung, bayam, cili, kobis, kailan dan sawi," katanya.

-- BERNAMA