MELAKA: Lebih banyak usaha perlu dilakukan dalam menolak persepsi bahawa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan pilihan kedua atau pendidikan kelas kedua, khususnya dalam kalangan golongan muda.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata antaranya ialah meningkatkan persepsi positif terhadap bidang atau pendidikan TVET, dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk ibu bapa, belia dan juga industri.

Beliau berkata selain itu, penggunaan media sosial juga perlu dimanfaatkan sebagai platform untuk mempromosikan TVET, seperti memaparkan kejayaan graduan dan alumni TVET, sekali gus menjadikannya sebagai kerjaya pilihan golongan muda.

"Di negara maju, bilangan pelajar aliran vokasional dan teknikal adalah banyak dan sebagai contoh, di Jerman, TVET dianggap salah satu sistem pendidikan utama, dengan sehingga 70 peratus pelajarnya memasuki aliran vokasional.

"Saya percaya negara kita juga tidak ketinggalan dan kita masih berada dalam landasan yang tepat, kerana kita mempunyai empat Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia termasuk Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), yang menjadi nadi utama negara dalam melahirkan graduan TVET berkelas dunia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Duta TVET UTeM, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mohammad Yusof Apdal dan Naib Canselor UTeM Prof Dr Massila Kamalrudin.

Sementara itu, Sulaiman berkata universiti perlu menjadi ejen masyarakat dalam memperkasakan TVET, seperti yang dilaksanakan UTeM menerusi program Duta TVET, yang melaksanakan pelbagai projek teknikal berimpak tinggi yang memberi kesan positif kepada komuniti.

"Saya dimaklumkan program Duta TVET UTeM ini merupakan satu inisiatif perkongsian dan pemindahan teknologi, yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat dengan melaksanakan aktiviti kemasyarakatan berdasarkan bidang TVET IPT seperti kejuruteraan awam, elektrik, automotif dan lain-lain.

"Melalui program ini, saya percaya masyarakat dan komuniti akan lebih dekat dengan TVET, seterusnya membina satu persepsi yang positif terhadap pembangunan TVET di negara ini," katanya.

Dalam pada itu, Massila berkata setakat ini program Duta TVET UTeM dilaksanakan di beberapa lokasi di Melaka antaranya Pantai Kundor, Tanjung Bidara dan Ayer Molek, melibatkan lapan fakulti dengan empat daripadanya membabitkan fakulti kejuruteraan.

Beliau berkata projek Duta TVET UTeM, dilaksanakan dalam kalangan kakitangan dan pelajar secara individu atau berkumpulan, dan ia merupakan sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) terhadap masyarakat.

"Antara projek dibangunkan ialah Sistem Akuaponiks Pintar dengan Internet Benda (IoT) di Tanjung Bidara, UTeM Digital Niaga di Ayer Molek dan Penyelenggaraan Komputer dan Rangkaian Keselamatan Siber dan Inovasi, di Pantai Kundor.

-- BERNAMA