Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menahan beberapa lagi individu bagi membantu siasatan berhubung kes sebat seorang lelaki menggunakan hos getah di sebuah rumah mengurus mayat di Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, siasatan juga sedang dijalankan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

Polis juga katanya mendapati klip video berkenaan menunjukkan kejadian berkenaan melibatkan lebih daripada seorang individu.

BACA: Lelaki ditahan susulan insiden pukul di majlis pengebumian 'Datuk' mangsa tembak

“Kalau kita tengok dalam video, bukan melibatkan satu orang yang menyerang. Banyak orang, jadi lebih banyak tahanan akan kerana mendatangkan kecederaan kepada mangsa.

"Kita juga melihat kegiatan mereka di dalam kegiatan kongsi gelap dan gangsterism, aktiviti yang kita mungkin boleh mengambil tindakan di bawah POCA,” kata Noor Rashid ketika ditemui media selepas menyempurnakanSsambutan Hari Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) ke 61 di Pengkalan Unit 1 dan 4 PSP, di sini hari ini.

Baru-baru ini, satu klip video berdurasi 1 minit 40 saat yang memaparkan seorang lelaki disebat sebanyak 47 kali menggunakan hos paip menjadi viral di media sosial.

Lelaki itu cedera dipukul kerana dikatakan menghina ahli perniagaan yang mati ditembak Khamis lalu di Pulau Pinang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Zainol Samah sebelum ini berkata mangsa berusia 47 tahun itu mengalami kecederaan lebam, bengkak dan luka di mata kanan, pipi, hidung, bahagian belakang badan serta kedua-dua belah tangan.

Dalam kejadian 7.15 malam pada Khamis, tiga lelaki termasuk ahli perniagaan Datuk Ong Teik Kwong maut manakala lima yang lain cedera akibat ditembak seorang lelaki yang dilapor mempunyai masalah mental. -- Bernama