Malaysia dan Kemboja akan terus bekerjasama bagi membolehkan lebih ramai pembantu rumah bekerja di negara ini bagi memenuhi keperluan majikan tempatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari Kemboja, Hun Sen mencapai kata sepakat itu selepas mesyuarat dua hala di Putrajaya.

"Kemboja berharap Malaysia membenarkan lebih ramai pekerjanya bekerja di Malaysia dan kita telah menerima tawaran itu terutama dalam sektor pembantu rumah," kata Najib dalam sidang media bersama Hun Sen selepas keduanya mengadakan mesyuarat dua hala di Pejabat Perdana Menteri, di sini hari ini.

Malaysia juga sedia mengkaji untuk melabur dalam sektor pertanian di Kemboja.

"Salah satu bidang yang Perdana Menteri Kemboja mahu Malaysia ambil perhatian ialah pelaburan dalam sektor pertanian terutama pengeluaran dan rantaian bekalan makanan beras. Kami sedia ambil maklum mengenai tawaran itu," kata Najib.

Vietnam juga berharap Malaysia akan membantu negara itu dalam pengeluaran sijil produk halal.

Pada masa sama, syarikat milik Malaysia berminat untuk terlibat dalam usaha membangunkan Kemboja terutama dalam sektor pembinaan kemudahan di negara itu.

Selain itu, Malaysia menawarkan empat lokasi kepada rakyat Kemboja untuk melanjutkan pengajian peringkat Sarjana Muda melalui Program Kerjasama Teknikal Malaydia (MTCP) Asean.

"Program berkenaan akan bermula September ini. Kemboja juga adalah peserta program terbesar dalam MTCP dan Malaysia komited untuk terus menyediakan tempat belajar kepada rakyat negara itu," ujar Najib.

Selain itu, kedua-dua negara juga sepakat untuk meneruskan kerjasama dalam industri pelancongan.

"Kemboja adalah salah satu negara yang paling kerap dilawati rakyat Malaysia dan kira-kira 150 ribu warga kita telah melawat Kemboja setiap tahun," tambah Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Malaysia dan Kemboja juga akan meneruskan kerjasama dalam program kesukarelawan MyCorps.

"Kira-kira 40 sukarelawan muda dari Malaysia telah terlibat dengan program MyCorps tahun lepas dan 100 sukarelawan lagi dijangka melibatkan diri dalam program itu tahun ini," ujarnya.

Setakat ini, jumlah pelaburan syarikat-syarikat Malaysia di Kemboja direkodkan mencecah RM4.3 bilion .