Lebih seribu kedai gunting rambut tidak mahu beroperasi

Hakim Rahman
April 11, 2020 11:05 MYT
Keputusan untuk tidak beroperasi meskipun dibenarkan dibuat atas faktor risiko kesihatan. - Foto Astro AWANI
Lebih seribu kedai gunting rambut di Kuala Lumpur dan Selangor membuat keputusan untuk tidak beroperasi sehingga 30 April ini meskipun dibenarkan berbuat demikian.
Ini kerana risikonya terlalu besar bukan saja kepada pelanggan malah kepada pekerja kedai gunting rambut.
Timbalan Presiden Persatuan Jurugaya Rambut India Wilayah Persekutuan dan Selangor, Akillan Anandakrishnan berkata mereka tidak mahu mengambil risiko kesihatan meskipun berdepan tekanan ekonomi.
"Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 28 April ini, kami semua telah mengambil keputusan untuk tidak beroperasi sehingga 30 April ini.
"Kebanyakan ahli persatuan kami bimbang dengan risiko jangkitan dan kesihatan yang akan dihadapi sekiranya beroperasi," katanya kepada Astro AWANI.
BACA: Kebimbangan wujud 'kluster gunting rambut': MITI akan teliti pandangan rakyat
BACA: PKP 3: KKM saran kerajaan tangguh sementara operasi kedai gunting rambut
Jika ahli-ahli dibawah persatuannya mahu beroperasi mereka perlu mematuhi garis panduan ditetapkan seperti mempunyai alat pengimbas suhu badan, proses sanitasi serta menjarakkan kerusi antara pelanggan.
Mengulas lanjut Akillan berkata walaupun kehilangan sumber pendapatan buat seketika kerana tidak beroperasi namun keputusan itu mampu menyelamatkan nyawa.
Kerajaan pada Jumaat mengumumkan beberapa sektor ekonomi termasuk kedai gunting rambut dan dobi dibenarkan beroperasi bermula 13 April ini.
#coronavirus #COVID-19 #ekonomi #kedai gunting rambut #kerajaan #kesihatan #koronavirus #Kuala Lumpur #PKP