LAHAD DATU: Seekor buaya tembaga berjaya ditangkap selepas tersangkut pada pukat penduduk kampung dalam kejadian di Sungai Nipah Tambisan di Felda Sahabat, pada Rabu lalu.

Buaya jantan yang mengalami kudung pada kaki depan sebelah kiri itu dianggarkan seberat 900 kilogram dan hanya berjaya ditangkap selepas lebih tiga jam operasi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Lahad Datu, Kapten (PA) Ahmad Roslan Mohd Kamel berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk kampung pada jam 9 pagi.

"Sepasukan anggota APM dikejar ke lokasi sebaik menerima laporan tersebut dan operasi menangkap buaya dilakukan dengan menggunakan kaedah tali.

"Kami mengambil masa selama lebih tiga jam untuk menangkap buaya tersebut disebabkan haiwan itu cuba melawan balik dengan melibaskan ekornya ketika ditarik menggunakan tali," katanya Ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Katanya lagi, buaya itu kemudian berjaya dibawa naik ke darat dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Hidupan Liar (JHL) Lahad Datu.

Sementara itu, Pembantu Hidupan Liar Lahad Datu Sylvester Wong mengesahkan ada menerima haiwan reptilia yang diserahkan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Desa Kencana.

"Berdasarkan laporan, buaya itu telah tersangkut pada pukat penduduk kampung di sungai tersebut sebelum diserahkan kepada pihak kami pada keesokan harinya," katanya

Tambah Slyvester lagi, buaya yang ditangkap itu adalah buaya jantan dewasa dan kali ini adalah bersaiz sepanjang 5.1 meter.

"Kita anggarkan berat buaya ini adalah kira-kira 900 kilogram," katanya. - Sinar Harian