KUANTAN: Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) akan ditutup sebahagian di kedua-dua arah selama 30 minit bermula jam 11 malam ini bagi memudahkan kerja-kerja pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi berkata, laluan dari KM55.35 sehingga KM55.85 (Lentang) akan ditutup sepenuhnya bagi memberi laluan jentera berat yang terlibat dengan pembinaan terowong terpanjang dalam projek ECRL atau Genting Tunnel.

"ANIH Berhad, pengendali lebuhraya KLK dan lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) akan menutup sepenuhnya laluan dari kedua-dua arah lebuhraya KLK dari KM55.35 sehingga KM 55.85 (Lentang) bagi memastikan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.

"ANIH Berhad ingin menasihati pengguna lebuhraya untuk merancang perjalanan dan jika perlu mempercepatkan atau menangguh perjalananan mereka," katanya dalam satu kenyataan disini hari ini.

Beliau berkata, selepas jam 11.30 malam ini hanya laluan lorong kiri akan dibuka di kedua-dua arah kepada pengguna lebuh raya.

Jelasnya, ANIH Berhad menjangkakan laluan akan dibuka sepenuhnya di semua arah pada jam 5 pagi, 28 Jun (Selasa).

"Kita ingin mengingkatkan kepada semua agar memandu secara berhemah dan sentiasa mematuhi arahan petugas di lokasi.

"Selain itu, pengguna lebuh raya juga perlu memastikan keadaan kenderaan mereka sentiasa dalam keadaan optimum sebelum memulakan perjalanan," ujarnya.

Tambahnya, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan merujuk laman sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia/Anih Berhad; di Twitter @LLMTrafik dan @LPTTrafik; serta Facebook @Lembaga Lebuhraya Malaysia; @ Lebuhraya Pantai Timur  atau hubungi hotline LLM di 1800-88-7752 dan LPT-Line di 1-700-818-700.