Mahkamah Persekutuan hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan enakmen syariah yang menghukum lelaki Islam berpakaian wanita di tempat awam, tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Lima panel hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif sebulat suara membenarkan rayuan Kerajaan Negeri Sembilan dan empat pihak lain iaitu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Pengarah dan Ketua Penguatkuasa JHEAINS, Ketua Pendakwaraya Syariah Negeri, serta Majlis Hal-Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan .

Md Raus berkata keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi tidak boleh digunakan kerana saluran tuntutan yang digunakan oleh 'mak nyah' terbabit tidak mengikut prosedur.

Tambahnya, hakim-hakim Mahkamah Tinggi dan mahkamah Rayuan membuat kekhilafan dalam semakan kehakiman bagi tiga jurusolek pengantin beragama Islam iaitu Muhamad Juzaili Mohamad Khamis, 26, Syukor Jani, 28, dan Wan Fairol Wan Ismail.

BACA: Keputusan Mahkamah Rayuan beri kesan kes jenayah syariah lain - Peguam Syarie

BACA: Kerajaan NS masih bincang rayuan kes mak nyah berpakaian lelaki


Pada 7 November tahun lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan tiga jurusolek itu mencabar Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Undang-Undang Negeri Sembilan 1992 yang melarang lelaki Islam daripada berpakaian wanita.

Pada 13 Ogos lalu, peguam bagi pihak Kerajaan Negeri Sembilan, Tan Sri Shafee Abdullah, berhujah bahawa kumpulan jurumekap itu tidak menggunakan saluran betul untuk memfailkan tuntutan mereka.

Selain Md Raus, barisan panel yang mempengerusikan kes tersebut ialah hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah, Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Zaharah Ibrahim.

BACA: Isu mak nyah: Ambil pendekatan harmoni dalam takrifan Perlembagaan - IKIM


BACA: Isu mak nyah: Mahkamah Rayuan tidak timbang tiga perkara mengenai Islam