GERIK: Polis mengesan seorang lelaki yang dipercayai mencabul wanita berusia 22 tahun di dalam bas ekspres dalam perjalanan dari Seri Iskandar, Perak ke Tanah Merah, Kelantan, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 3.11 petang hari sama.

Menurutnya, mangsa mendakwa diraba oleh seorang lelaki dalam lingkungan usia 20 tahun, yang duduk di kerusi bahagian belakang.

"Kejadian berlaku semasa mangsa tidur. Dia menyedari telah diraba. Mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Banggol Judah, Kelantan.

"Hasil siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berlaku semasa bas tersebut berada berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Titiwangsa, Gerik," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Beliau menambah, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu Zulkifli meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik di talian 05-7912222, atau mana-mana balai polis berhampiran.