awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Pentagon tamatkan program latihan dan felo dengan Harvard, kata Hegseth
Pelawak Indonesia disoal siasat susulan aduan kandungan rancangan Netflix
Cabaran ekstrem Malatra Ultra, Pirate Backyard Ultra 2026 tarik lebih 400 penyertaan
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Lelaki didenda RM4,000 guna dokumen palsu mohon bantuan PPRT

Bernama
Bernama
06/03/2024
05:25 MYT
Lelaki didenda RM4,000 guna dokumen palsu mohon bantuan PPRT
Yushafiszam Yusof, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Mohd Azhar Othman hari ini. -Gambar hiasan
KUALA TERENGGANU: Seorang pekerja pembersihan syarikat luar pesisir hari ini didenda RM4,000 setelah mengaku bersalah menggunakan dokumen palsu bagi permohonan bantuan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bernilai RM50,000.
Yushafiszam Yusof, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Mohd Azhar Othman hari ini.
Tertuduh turut diarah menjalani hukuman penjara tambahan dua bulan sekiranya gagal membayar denda itu.
Yushafiszam didakwa menggunakan dokumen palsu iaitu Borang Permohonan PPRT, Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) bagi membuat permohonan bantuan bina rumah baharu di bawah Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK).
Dia melakukan kesalahan itu pada Mei 2019 di Kampung Talong, Dungun dan boleh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan serta dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Ketika prosiding, peguam Mohd Kamaruzaman A Wahab yang mewakili tertuduh memohon anak guamnya dielakkan penjara dan dikenakan denda minimum kerana berpendapatan rendah iaitu antara RM1,000 hingga RM3,000 sebulan selain pengakuan bersalahnya telah menjimatkan masa mahkamah.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Mariah Omar berkata kesalahan dilakukan tertuduh merupakan satu kesalahan serius kerana melibatkan dana awam dan boleh menafikan hak penerima bantuan lain yang layak.
"Tertuduh telah mendapat manfaat sebuah rumah yang telah siap dengan kos RM50,000 menggunakan dana awam.
"Saya mohon hukuman setimpal diberikan agar boleh dijadikan pengajaran kepada tertuduh dan orang lain," katanya.
Hakim Mohd Azhar ketika menjatuhkan hukuman itu berkata kesalahan dilakukan tertuduh telah menyebabkan bantuan kerajaan gagal diterima golongan sepatutnya.
"Kalau tidak dibendung, bantuan kerajaan ini tidak akan sampai ke kumpulan sasaran.
"Oleh itu, mahkamah berpandangan satu hukuman setimpal wajar dikenakan dan berdoa kepada Allah agar hukuman ini boleh menjadi pengajaran kepada kamu dan orang lain agar tidak melakukan perkara sama," katanya.
Keluarga tertuduh yang hadir mendengar prosiding berkenaan kemudiannya melunaskan jumlah denda tersebut.
-- BERNAMA
Topic Berkaitan
#Yushafiszam Yusof
#pekerja pembersihan syarikat luar pesisir
#dokumen palsu
#permohonan bantuan
#pprt
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan