JOHOR BAHRU: Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah ditahan bersama dadah bernilai lebih RM2 juta di sebuah rumah sewa di Kluang, Rabu lepas.

Timbalan Ketua Polis Johor DCP M. Kumar berkata lelaki berusia 27 tahun itu ditahan dalam satu serbuan pada 1.30 tengah hari di rumah itu yang dipercayai dijadikan sebagai stor penyimpanan pelbagai jenis dadah.

"Modus operandi lelaki ini menjadikan rumah sewa itu sebagai stor sebelum dadah ini diedarkan kepada pengguna dan individu itu akan membungkus semula dadah dalam pelbagai jenis bungkusan kecil seperti bungkusan teh dan jus minuman bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Kami percaya lelaki itu sudah mula menjalankan kegiatan ini sejak November tahun lalu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Beliau berkata polis merampas 35.74 kilogram (kg) serbuk disyaki ekstasi; 2.52 kg disyaki ketamin; 10,800 biji disyaki pil erimin 5 dan 4,869 biji disyaki pil ekstasi dianggarkan untuk 148,126 penagih dadah.

Kumar berkata turut dirampas empat kereta satu daripadanya milik lelaki berkenaan dan tiga lagi dipercayai disewa dengan nilai sitaan RM155,000.

"Polis masih lagi menjalankan siasatan bagi mengesan jika terdapat individu lain yang terbabit sama menjalankan kegiatan pengedaran dadah itu," kata Kumar.

Sementara itu, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki itu negatif dadah dan tiada rekod jenayah lampau.

"Lelaki itu kini direman tujuh hari sehingga 23 Feb ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Sejak 1 Jan sehingga 16 Feb, Polis Johor telah membuat tangkapan 2,433 individu atas pelbagai kesalahan dadah dengan rampasan 712.68kg dadah bernilai RM8.15 juta.

-- BERNAMA