MUAR: Polis menahan seorang lelaki dan merampas kira-kira 1.2 juta batang rokok putih serta kretek dipercayai diseludup bernilai RM1.24 juta dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Naib Kadir, Bukit Pasir, di sini, tiga hari lepas.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata lelaki berumur 54 tahun itu ditahan pada pukul 2.30 petang Jumaat, hasil risikan selama empat minggu oleh pasukan Batalion 5, Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.

Beliau berkata pihaknya menemukan 118 bungkusan besar rokok pelbagai jenama terdiri daripada 4,000 karton selain turut merampas sebuah kereta Proton Wira, dua telefon bimbit dan wang tunai RM1,699 dalam serbuan itu.

"Ketika serbuan, lelaki itu sedang menyusun rokok-rokok berkenaan di rumah yang disewanya dan rokok-rokok itu dipercayai untuk dipasarkan di sekitar daerah sini, ini merupakan rampasan terbesar bagi tahun ini," katanya pada sidang media di IPD Muar di sini hari ini.

Raiz Mukhliz berkata lelaki itu direman selama tujuh hari bermula Sabtu bagi membantu siasatan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki itu tiada pekerjaan tetap, dan mula terlibat dalam aktiviti jualan rokok seludup sejak setahun lepas.

-- BERNAMA