Polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai terlibat dalam 21 kes penipuan penawaran pelaburan forex tidak wujud, yang melibatkan jumlah kerugian keseluruhan bernilai RM1.694 juta.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata lelaki berumur 30-an itu ditahan pada pukul 2 petang semalam di kawasan Seri Alam, selepas polis menerima 21 laporan berhubung jenayah terbabit, tahun lepas.

"Pada tahun lepas, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Johor menerima 21 laporan polis daripada mangsa yang terdiri daripada penjawat awam, mengenai penipuan menawarkan pelaburan forex yang tidak wujud, dijalankan oleh suspek yang bekerja dengan sebuah bank tempatan.

"Suspek menyasarkan penjawat awam sebagai mangsa penipuan, disebabkan kemudahan penjawat awam memperolehi pinjaman kewangan," katanya menerusi kenyataan di sini Sabtu malam.

Mohd Kamarudin berkata daripada 21 laporan terbabit, tujuh daripadanya dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, IPD Johor Bahru Selatan (9), IPD Kulai (4) serta IPD Mersing (1).

Beliau berkata sebanyak 21 kertas siasatan dibuka, dengan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Katanya lelaki terbabit akan didakwa secara berperingkat bermula esok di Mahkamah Majistret Johor Bahru, Kulai dan Mersing.

Sehubungan kejadian itu, polis menasihati masyarakat supaya menyemak dengan Bank Negara Malaysia terlebih dahulu, sama ada sesuatu pelaburan tersebut didaftarkan dan diberikan kebenaran untuk menerima sebarang bentuk wang deposit, sebelum menyertai sebarang bentuk pelaburan.

Selain itu, masyarakat juga diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan janji manis seperti akan mendapat keuntungan berlipat kali ganda, yang ditaburkan suspek kepada mangsa, katanya.

-- BERNAMA