BALIK PULAU: Polis menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran air ketum dan merampas 37.5 liter air ketum daripadanya dalam serbuan di sebuah kedai makan di Bayan Lepas, di sini semalam.

Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, polis membuat intipan dan risikan sejak seminggu lepas sebelum menyerbu premis itu serta menahan lelaki berusia 43 tahun berkenaan.

"Semasa serbuan, lelaki itu sedang menjual air ketum di premis tersebut. Polis merampas sebuah tong yang di dalamnya terdapat enam bungkus plastik hitam dengan setiap bungkus plastik mengandungi 25 bungkusan plastik air ketum.

"Keseluruhan air ketum dirampas ialah 150 bungkus yang dianggar sebanyak 37,500 mililiter bernilai lebih RM1,000," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan lelaki berkenaan kini direman empat hari bagi siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Sementara itu, kenyataan itu turut memaklumkan polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun dan seorang wanita berusia 41 tahun kerana disyaki menjadi 'keldai akaun' oleh sindiket penawaran pinjaman wang tidak wujud serta menyamar sebagai pegawai polis dan pegawai Bank Negara melalui dalam talian bagi sindiket Macau Scam.

"Lelaki itu ditahan di Kelantan manakala wanita ditangkap di negeri ini dan siasatan awal mendapati mereka terlibat dalam kes penipuan yang dilaporkan pada 2021. Jumlah kerugian yang dialami mangsa antara RM1,400 hingga RM20,950," menurut kenyataan itu.

Kedua-duanya yang ditahan pada Selasa lepas kini direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA