BALIK PULAU: Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki menjadi keldai akaun kepada sindiket Macau Scam hingga menyebabkan seorang pesara wanita kerugian RM1.9 juta, baru-baru ini.

Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya lelaki berusia 31 tahun itu ditahan di sini semalam bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan membabitkan mangsa berusia 67 tahun tersebut.

"Berdasarkan siasatan awal, lelaki itu dipercayai menjadi keldai akaun kepada sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai kakitangan Kementerian Kesihatan dan polis.

"Sindiket itu memperdaya wanita itu dengan menghubungi melalui telefon yang kononnya mangsa telah membuat satu keterangan palsu berkenaan COVID-19 lalu talian disambungkan ke pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah selepas mendakwa terlibat jenayah," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan mangsa yang takut ditangkap pihak berkuasa telah mengikut arahan sindiket tersebut dengan membuat 24 kali pindahan wang ke beberapa akaun berasingan dengan jumlah keseluruhan RM1.9 juta.

Dalam kes berasingan, kenyataan itu memaklumkan polis turut menahan seorang remaja perempuan berusia 19 tahun kerana disyaki menjadi keldai akaun dalam sindiket penipuan pinjaman tidak wujud yang diiklankan melalui carian Google.

Menurut kenyataan itu mangsa merupakan seorang lelaki berusia 21 tahun bekerja sebagai kerani, telah membuat 16 kali pindahan wang ke beberapa akaun berasingan dengan jumlah keseluruhan RM14,840.

Kedua-dua suspek tersebut kini direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat sindiket penipuan jual beli di laman sosial, pinjaman tidak wujud, tawaran kerja luar negara atau lain-lain," menurut kenyataan itu.

Polis juga menyarankan orang ramai agar membuat semakan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi ke mana-mana nombor akaun yang diterima menerusi pautan https://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau memuat turun di aplikasi Google Play Store semak Mule CCID.

-- BERNAMA