KOTA BHARU: Seorang lelaki ditahan susulan penemuan sebanyak 48 bungkusan dan 273 kotak mercun bernilai RM20,745 di dalam rumahnya di Kampung Bunut Payung di sini, malam tadi.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) Supt Azhari Nusi berkata, serbuan pada kira-kira pukul 8 malam itu, dilakukan pihaknya selepas menerima maklumat berkaitan penyeludupan mercun di kawasan berkenaan.

Beliau berkata lelaki berusia 34 tahun itu, yang mengaku pemilik rumah tersebut, ditahan untuk siasatan dan hasil pemeriksaan menemukan bungkusan dan kotak yang mengandungi mercun.

"Mercun yang dirampas dipercayai diseludup masuk melalui pangkalan haram sempadan Malaysia-Thailand dan dipasarkan di sekitar Kota Bharu termasuk di pasar malam Wakaf Che Yeh," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhari berkata penjualan mercun dalam bulan puasa adalah atas faktor permintaan tinggi, walaupun pihak berkuasa sudah banyak kali mengeluarkan larangan.

Katanya, harga mercun didapati meningkat sehingga dua kali ganda kerana kesukaran untuk dibawa masuk ke negara ini ekoran kawalan ketat oleh agensi penguat kuasa di sempadan Malaysia-Thailand.

"Kesemua rampasan dibawa ke Balai Polis Kota Bharu bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya," katanya.

Beliau berkata PGA7 akan terus menggandakan usaha dan mengetatkan kawalan sempadan negara, terutama menjelang musim perayaan, kerana permintaan kepada barang-barang seludup (kontraban) dijangka meningkat.

"Masyarakat juga diingatkan agar tidak terlibat dengan sebarang kegiatan jenayah rentas sempadan," katanya.

-- BERNAMA