TOKYO: Seorang lelaki telah ditahan pada Rabu kerana didakwa menolak dua orang ke landasan kereta api di sebuah stesen di Kawasaki yang berhampiran dengan Tokyo, lapor Xinhua memetik laporan media tempatan.

Insiden itu berlaku kira-kira 7.25 pagi waktu tempatan di platform tanpa pintu penghadang di Stesen Noborito di JR Nambu Line, lapor Kyodo News, memetik polis tempatan.

Polis menahan Takashi Akutsu, 32, atas dakwaan cuba membunuh selepas dua lelaki mengalami kecederaan yang tidak mengancam nyawa dan masih menyiasat sama ada terdapat masalah berlaku antara suspek dan kedua-dua mangsa.

Bagaimanapun tiada kereta api memasuki landasan pada masa kejadian.

Menurut East Japan Railway Company, enam kereta api mengalami kelewatan sehingga 10 minit, menjejaskan kira-kira 9,300 pengguna susulan insiden berkenaan.

-- BERNAMA