NATIONAL
Lelaki ditahan pecah pintu bangunan MPTI

Polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai bertindak agresif memecahkan pintu kaca utama bangunan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) pagi tadi. - Foto Sinar Harian
IPOH: Polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai bertindak agresif memecahkan pintu kaca utama bangunan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Dr Bakri Zainal Abidin berkata lelaki berusia 63 tahun itu ditahan selepas polis menerima laporan pada 10.35 pagi berhubung kejadian seorang lelaki mengamuk dan merosakkan harta benda awam di bangunan terbabit.
"Hasil siasatan mendapati lelaki itu datang ke bangunan MPTI menaiki motosikal dan meletakkan kenderaannya di hadapan bangunan itu. Lelaki itu membawa sebatang tukul besi dan bertindak memecahkan kedua-dua pintu kaca utama bangunan.
"Lelaki itu kemudian cuba meninggalkan bangunan berkenaan menuju ke kedainya di Jalan Bandar, Teluk Intan, namun sempat ditahan untuk diserahkan pada pihak polis," katanya dalam kenyataan hari ini.Beliau berkata dalam keterangannya, lelaki berkenaan memaklumkan dia berasa tidak berpuas hati terhadap tindakan MPTI yang memasang khemah di hadapan kedainya semasa sambutan perayaan Chitra Pournami yang disambut setiap tahun kerana menghalang pandangan pelanggan terhadap kedai jamnya.
Bakri berkata lelaki itu mendakwa telah mengemukakan beberapa aduan kepada MPTI dan polis sebelum ini, namun tiada tindakan diambil menyebabkan dia bertindak sedemikian.
"Sebatang tukul besi yang digunakan oleh lelaki itu telah dirampas sebagai barang kes. Lelaki itu kini ditahan di lokap Balai Polis Teluk Intan dan permohonan reman terhadapnya akan dibuat esok di Mahkamah Majistret Teluk Intan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi 1 minit 30 saat menerusi laman media sosial memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal dan bertindak agresif memecahkan pintu kaca di bangunan MPTI.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami