NATIONAL
Lelaki ditahan rosakkan kuil hindu, suspek dakwa dengar 'bisikan'

Mohd Azam menegaskan, siasatan awal mendapati kejadian itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan unsur ekstremisme. - Foto fail/BERNAMA
AMPANG JAYA: Seorang lelaki berusia 33 tahun ditahan polis selepas dipercayai memecah masuk dan merosakkan struktur logam yang dikenali sebagai sullam di sebuah kuil Hindu di Taman Sri Ampang, di sini, pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, suspek yang merupakan penganggur ditahan sejurus pihaknya menerima laporan daripada setiausaha kuil tersebut.
Menurut Mohd Azam, kejadian pertama dikesan sekitar jam 6 pagi ketika pengadu berada di rumah dan meninjau rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menerusi telefon pintarnya. Dalam rakaman itu, pengadu melihat seorang lelaki tidak dikenali memasuki kawasan kuil sebelum beredar.
"Pada hari sama, sekitar jam 8.29 pagi, suspek yang sama dilihat kembali ke lokasi dengan membawa tukul besi, pemotong besi, dua bilah parang dan sebilah keris. Suspek kemudiannya bertindak memecahkan sullam," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.Tambah Mohd Azam, menyedari kejadian itu, pengadu bergegas ke kuil, namun dihalau suspek yang mengacukan parang serta mengugut mahu memotong kepalanya. Berikutan itu, pengadu segera menghubungi polis untuk bantuan.
"Kita tiba di lokasi sekitar jam 8.38 pagi dan menahan suspek serta merampas beberapa senjata seperti satu batang tukul besi, pemotong besi, dua bilah parang, sebilah keris, sebuah beg dan sbuah motosikal jenis Yamaha LC135," tambahnya.
Mohd Azam turut menegaskan, siasatan awal mendapati kejadian itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan unsur ekstremisme.
"Sebaliknya, suspek dipercayai berada dalam keadaan khayal dan mendakwa terdengar ‘bisikan’ sebelum bertindak sedemikian," ujarnya.
Justeru, beliau menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Menurut beliau, permohonan reman ke atas suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Ampang pada Selasa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana merosakkan tempat sembahyang; Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah; serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki senjata berbahaya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami