Lelaki ditahan seleweng minyak masak bersubsidi di Nibong Tebal

S. Jegan (kiri), menunjukkan pump motor dan bungkusan polibeg minyak masak bersubsidi 1 kg yang digunakan oleh sindiket penyelewengan untuk memindahkan isi minyak ke dalam botol kosong berkapasiti 5 kilogram hari ini. - Gambar Bernama
BUKIT MERTAJAM: Tindakan seorang lelaki menyeleweng minyak masak bersubsidi di sebuah gudang terpencil terbongkar selepas diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menerusi Ops Tiris 3.0 di kawasan perindustrian Sungai Jawi, Nibong Tebal, semalam.
Ringkasan AI
- Ops Tiris 3.0: Serbuan KPDN Pulau Pinang di Gudang Sungai Jawi, Nibong Tebal, temui minyak masak disyaki disalahguna.
- Modus operandi: Suspek memotong minyak masak peket 1kg dan pindahkannya ke tong biru 150L tanpa izin, rampasan keseluruhan RM16,892.
- Siasatan lanjut: Pihak berkuasa menyiasat sumber bekalan minyak masak, kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Turut ditemui dua unit tong biru yang disyaki berisi cecair minyak berkapasiti 150 liter (L) dipercayai digunakan untuk menyimpan minyak yang dipindahkan daripada bungkusan asal.
"Modus operandi suspek ialah memotong minyak masak dalam bungkusan polibeg 1kg dan memindahkannya ke dalam tong biru 150L menggunakan peralatan khas," katanya pada sidang media di Kompleks Penyimpanan KPDN Pulau Pinang Bukit Minyak di sini, hari ini.
Jegan berkata kegiatan itu dipercayai dilakukan bagi mengubah bentuk asal barang kawalan berkenaan sebelum dijual semula secara tidak sah atau disimpan tanpa kebenaran.
Beliau berkata, siasatan mendapati kegiatan tersebut dilakukan secara bersendirian oleh seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an yang ditahan ketika sedang memindahkan minyak.
Menurutnya, peralatan pemindahan seperti satu unit pam, sembilan gunting serta beberapa dokumen berkaitan turut disita untuk siasatan lanjut dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM16,892.
"Siasatan mendapati gudang itu beroperasi sejak tiga bulan lalu tanpa lesen atau permit sah untuk memiliki dan mengurus barang kawalan berjadual seperti diwajibkan undang-undang," katanya.
Beliau menambah, pihaknya masih menyiasat sumber bekalan minyak masak yang diperoleh suspek, namun tidak menolak kemungkinan ia dibeli dari sekitar negeri ini dan Perak berdasarkan jenama pada peket minyak tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


