Seorang lelaki ditahan polis hari ini bagi membantu siasatan kes mencederakan seorang individu pada majlis penghormatan terakhir ahli perniagaan, mendiang Datuk Ong Teik Kwang yang mati ditembak pengawal peribadinya pada Khamis lalu.

Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner ( SAC) Zainal Samah berkata, pihak polis sebelum itu mendapat maklumat bahawa seorang lelaki Cina telah dipukul di Tanah Perkuburan Khoo Kongsi, Air Itam.

Berikutan itu, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut telah berjaya menyelamatkan lelaki berkenaan.

Mangsa dilaporkan cedera pada bahagian mata kanan, bengkak dipipi dan cedera pada badan, dipercayai di pukul menggunakan senjata tumpul dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang.

Pada Sabtu, video berdurasi satu minit 42 saat menunjukkan seorang lelaki dipaksa melutut di hadapan keranda mendiang Ong menjadi viral dan dipukul bertalu-talu sekaligus menimbulkan persoalan sama ada kes berkenaan berkaitan kegiatan kongsi gelap.

Punca kejadian dipercayai adalah kerana mangsa didakwa menghina kematian mendiang menerusi laman sosial dan perkara itu telah diviralkan.

Dalam pada itu, polis juga akan menjalankan siasatan berdasarkan rakaman video yang diterima serta dua lelaki lain yang dipercayai terlibat.

Selain itu, Zainal mengingatkan semua pihak supaya tidak memanipulasikan kejadian berkenaan kononnya melibatkan perbalahan antara kumpulan gelap sehingga menyebabkan kegusaran kepada masyarakat.

Pihak polis katanya melakukan pemantauan serta risikan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Kes berkenaan disiasat mengikut seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Khamis lalu, Ong Teik Kwang, ditemui maut akibat ditembak di belakang kepala dipercayai oleh pengawal peribadinya susulan pertengkaran dengan rakan kongsi mangsa dalam kenderaan yang dipandu oleh Ong.

Suspek yang didakwa mengalami masalah mental kemudian memukul dan mengejar rakan kongsi mangsa yang turun dari kereta dan melarikan diri.

Ketika mengejar lelaki berkenaan, suspek telah melepaskan tembakan rambang yang mengorbankan dua pengguna jalan raya, Senthil Murugiah, 38, dan Choi Hon Ming, 32.

Dalam insiden tersebut, empat lagi mangsa cedera akibat terkena tembakan rambang.

Mereka yang cedera dikenalpasti sebagai Lee Hong Boon, 56, Nurul Huda Aziz, 38, Arivarni Krishnan, 33, Mohamad Amirul Amin Mohamed Amer, 28, dan Lim Boon Leng, 32 tahun.