Skip to main content

Malaysia

Lelaki ditahan, tiga kes curi tabung masjid di Pasir Mas selesai

61770189851_HandcuffGari.jpg
Suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas pada 7.30 malam semalam, di hadapan sebuah kedai makan di Kampung Dangar, Pasir Mas. - Gambar hiasan
Advertisement

KOTA BHARU: Polis menahan seorang lelaki berusia 36 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes curi tabung masjid di sekitar Pasir Mas, sekali gus menyelesaikan tiga kes berkenaan dengan anggaran kerugian RM3,000.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas pada 7.30 malam semalam, di hadapan sebuah kedai makan di Kampung Dangar, Pasir Mas.

Beliau berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha Avantiz, sebuah topi keledar, anak kunci motosikal, sehelai baju jenama Adidas dan seluar jenama Ignio.

“Polis turut merampas wang tunai RM40, sebatang spanar besi serta tiga tabung duit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yusoff berkata semakan rekod mendapati, suspek mempunyai tiga rekod berkaitan kesalahan dadah dan dua rekod jenayah.

Beliau berkata ujian saringan awal air kencing terhadap suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Mohd Yusoff berkata hasil tangkapan itu, polis berjaya menyelesaikan tiga kes curi tabung masjid yang berlaku di daerah Pasir Mas, dengan jumlah kerugian dianggarkan RM3,000.

“Suspek kini direman selama empat hari mulai semalam hingga 28 Ogos bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta denda atau sebatan bagi kesalahan kedua dan seterusnya,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement