TAPAH:Seorang lelaki ditemui mati dalam sebuah kereta yang diletakkan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah arah selatan, dekat sini, hari ini.

Mangsa yang dikenali sebagai Ng Kar Weng, 26 tahun, disahkan maut di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 11.30 pagi.

Katanya, ketika tiba di tempat kejadian, enjin kereta berkenaan telah dimatikan.

"Pasukan bomba yang tiba di tempat kejadian telah mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas dengan bantuan KKM," katanya dalam satu kenyataan.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Pasu berisi abu ditemui dalam kereta

Sementara itu polis memaklumkan menjumpai sebuah pasu tanah berisi abu arang di dalam kereta mangsa.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharudin Wan Ismail berkata, pasu itu ditemui di bahagian ruang kaki penumpang bahagian belakang kereta tersebut.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap mayat mendapati tiada kesan kecederaan atau unsur-unsur jenayah.

“Tiada saksi ditempat kejadian dan juga tiada CCTV di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa yang dikenali sebagai Ng Kar Weng, 26 tahun, disahkan maut di tempat kejadian. - Foto PDRM

Menurutnya lagi, Ng Kar Weng yang bekerja sebagai tukang cat kenderaan adalah anak bongsu daripada tiga beradik dan tinggal bersendirian di sebuah kondominium di Menglembu.

Wan Azharudin berkata, si mati juga tidak menceritakan apa-apa masalah kepada keluarganya.

Katanya, bedah siasat akan dijalankan bagi mengetahui punca kematian.