JOHOR BAHRU: Seorang lelaki yang dilaporkan sesat ketika mendaki secara bersendirian di Gunung Pulai berhampiran Pulai Hijauan Skudai di sini semalam, berjaya ditemukan selepas menyahut panggilan pasukan penyelamat, tengah malam tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Khairi Zainuddin berkata mangsa, Lee Chin Chai, 56, ditemukan hampir 12.30 tengah malam, kira-kira dua kilometer dari lokasi terakhir dilaporkan hilang.

"Selepas mendengar suara mangsa yang menyahut panggilan, kedudukannya didapati di dalam belukar (bukan laluan pendakian), seterusnya pasukan penyelamat membuka laluan ke arah mangsa dan menyelamatkannya.

"Mangsa ditemukan selamat dan berada dalam keadaan keletihan namun selepas diberikan sedikit makanan, dia kembali cergas dan boleh berjalan sendiri, " katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Khairi berkata operasi ditamatkan sepenuhnya pada 3.30 pagi tadi dan mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk dibawa ke hospital berhampiran.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) menasihatkan semua pihak agar mematuhi arahan penutupan trek pendakian yang dikeluarkan sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini, susulan musim tengkujuh.

Pengarah JPNJ Datuk Salim Aman berkata Lee dipercayai memasuki hutan berkenaan melalui tanah persendirian iaitu di kawasan Tasik Biru, Kangkar Pulai untuk mendaki ke puncak Gunung Pulai.

Justeru, beliau berkata pendaki perlu menggunakan trek yang telah disediakan oleh pihak jabatan di samping mendapatkan khidmat Malim Gunung Perhutanan (MGP) terutamanya bagi mereka kurang mahir mendaki atau pun meredah hutan.

"Pendaki diingatkan agar tidak mendaki secara bersendirian kerana ia sangat berbahaya selain perlu mendapatkan Permit Memasuki Hutan Simpanan Kekal (HSK) dari jabatan jika pendakian melalui trek atau denai di dalam kawasan HSK.

"Kegagalan mematuhi arahan tersebut bukan sahaja boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 47, Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1985 Negeri Johor iaitu memasuki Hutan Simpan Kekal tanpa sebarang kebenaran atau Permit Memasuki HSK, sebaliknya boleh mengundang bahaya kepada pendaki di samping menyukarkan pasukan keselamatan yang terlibat dalam kerja-kerja mencari dan menyelamat," katanya.

Pada Sabtu lepas, JPNJ telah mengeluarkan amaran bahawa kesemua Taman Eko Rimba, trek pendakian dan laluan kenderaan pacuan empat roda (4x4) di dalam hutan simpan kekal di Johor, ditutup kepada orang awam manakala bagi trek pendakian Gunung Pulai telah ditutup pada 15 Nov lepas.

-- BERNAMA