KUALA LUMPUR: Seorang lelaki menjadi mangsa penipuan jual beli menggunakan wang palsu selepas menjual telefon bimbitnya kepada seorang wanita, minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata lelaki itu menyedari ditipu selepas dia gagal mendepositkan 17 keping wang kertas RM100 yang diterimanya di sebuah bank.

Beliau berkata dalam kejadian 20 Sept lepas, lelaki itu bertemu dengan wanita berkenaan yang tiba di Pasaraya Bilion Bandar Teknologi Kajang dengan menaiki kereta jenis Kia Cerato berwarna coklat dipandu seorang lelaki, selepas wanita itu bersetuju untuk membeli telefon bimbitnya dengan harga RM1,950.

"Suspek menyerahkan 17 keping wang kertas RM100 dan lima keping wang kertas RM50.

Setelah selesai berurusan, lelaki itu ingin mendepositkan wang berkenaan ke dalam akaunnya sebelum menyedari kesemua wang kertas RM100 itu tidak diterima mesin deposit tunai (CDM)," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Mohd Zaid menasihatkan orang ramai berwaspada dengan modus operandi penipuan menggunakan wang palsu dan tidak berurusan secara terburu-buru semasa membuat urusan pembelian secara tunai atau Cash On Delivery (COD).

-- BERNAMA