ALOR SETAR:Lelaki yang menemui bayi perempuan seberat 2.8 kilogram di atas bangku sebuah tokong di Kampung Hilir, Kubang Rotan di sini, petang semalam, berhasrat mengambilnya sebagai anak angkat.

Malah, Mohd Hanif Zaini, 29, dan isterinya, Sharifah Zurini Syed Mat Noor, 29, sudahpun mempunyai nama untuk diberikan kepada bayi berkenaan iaitu Maryam, walaupun menyedarinya prosesnya bukan mudah.

Pasangan suami isteri itu mengakui mereka sudah mempunyai rasa sayang dan kasih terhadap bayi malang itu walaupun hanya sempat bersamanya empat jam sebelum diserahkan kepada polis.

"Saya tidak dapat melupakan 'Maryam' yang menggenggam jari saya dengan matanya tidak berkedip ketika saya menemuinya di atas bangku itu.

"Malah, selepas memandikan bayi itu di rumah kami, isteri saya sempat memberinya susu formula disebabkan dia lapar dan menangis.

"Memang sedih mengenangkan keadaan bayi itu, kerana saya dan isteri memang mahukan sangat bayi perempuan. Bagaimanapun ada orang yang senang-senang saja buang bayi selepas dilahirkan," kata Mohd Hanif ketika ditemui di sini, hari ini.

BACA: 'Mula-mula terdengar seperti anak kucing' - Jumpa bayi dalam beg ketika sedang joging

Jelas Mohd Hanif, dia dan isteri kerap menatap gambar bayi itu yang sempat dirakam menggunakan telefon bimbitnya isterinya untuk melepaskan rindu.

Malah menurutnya, anak tunggal lelaki mereka yang berusia dua tahun juga kerap bertanya mengenai bayi berkenaan.

Dalam kejadian jam 4.35 petang semalam, bayi perempuan yang cukup sifat dipercayai baru lahir itu ditemui dalam keadaan dibalut dengan kain batik di dalam beg di atas bangku tokong berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, berkata polis sedang mengesan ibu atau pihak yang bertanggungjawab meninggalkan bayi berkenaan.

Beliau berkata, orang ramai atau mana-mana klinik yang mempunyai maklumat ibu mengandung atau melahirkan anak dalam keadaan mencurigakan boleh menghubungi talian 04-7747222 atau pegawai penyiasat, Siti Sarah Abdul Rahim di talian 019-7118587.

Ahmad Shukri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang kanak-kanak.