Gara-gara cintanya ditolak, seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun mengikat dan mengurung seorang wanita warga Indonesia berusia 28 tahun, di sebuah bilik hotel di bandar raya ini pada Selasa.

Apabila polis cuba menyelamatkan wanita itu, lelaki berkenaan cuba mengambil nyawanya sendiri dengan mengikat tali pada lehernya di katil.

Polis berjaya menghalang, namun lelaki itu mengalami sedikit kecederaan pada leher, kata Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan ACP Sulaiman Salleh pada sidang akhbar di sini, Khamis.

Sebelum kejadian, lelaki itu, yang mengenali wanita tersebut selama tiga tahun, menghubunginya untuk bertemu di hotel itu bagi menyelesaikan masalah di antara mereka.

Namun apabila sampai di bilik hotel, berlaku pergaduhan dan pengawal keselamatan hotel yang mendengar kekecohan itu menghubungi pihak polis.

Wanita itu kini dikatakan menjalin hubungan cinta dengan seorang lelaki lain dan telah memberitahu lelaki berkenaan.

Lelaki itu kini ditahan reman selama seminggu.