Seorang lelaki mati ditembak polis dalam kejadian tembak menembak di Kampung Jerung, Jalan Kuala Ketil awal pagi Isnin.

Suspek sebelum itu melarikan diri dari polis ketika cuba ditahan dalam satu rondaan.

Kejadian berlaku sekitar 5.20 pagi apabila sepasukan pegawai dan anggota Task Force Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Kuala Muda, sedang membuat rondaan di Jalan Lencongan Timur.

Di sana, mereka terserempak dengan sebuah kereta jenis Toyota Vios putih dalam keadaan mencurigakan.

Polis kemudian mengarahkan suspek hentikan kenderaan namun dia enggan dan terus memecut ke arah Jalan Kuala Ketil lalu memasuki Jalan Kampung Jerung untuk melarikan diri.

Suspek kemudian melepaskan tembakan ke arah polis dan maut akibat terkena tembakan balas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalthrash Wahid memaklumkan, polis turut menemui sepucuk pistol bersama suspek.

Siasatan juga masih dijalankan bagi mengetahui identiti suspek dan motif kejadian.