BAGAN DATUK: Lelaki yang maut terkena tembakan ketika cuba menyerang anggota polis dengan parang di sebuah rumah di Hutan Melintang dekat sini pada Selasa, disahkan berada di bawah pengaruh dadah.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, sebelum itu sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)  Hilir Perak menerima maklumat suspek bertindak agresif dengan ahli keluarganya sekitar jam 11.30 malam.

Katanya, setibanya di lokasi, polis cuba memujuk lelaki berusia 44 tahun itu untuk memberi kerjasama, namun suspek bertindak agresif selain mengugut mahu menetak dan mencederakan ibunya yang berusia 72 tahun.

Ujar Mohd Yusri, lelaki yang juga seorang duda itu kemudiannya memeluk ibunya sambil mengacukan parang dan gunting kepada mangsa.

“Selepas pihak polis berjaya memasuki rumahnya, suspek menolak ibunya jatuh sebelum pengsan, serta membaling kipas angin sambil menghayunkan parang kepada pihak polis yang cuba menangkapnya.

“Atas faktor ancaman nyawa yang dihadapi oleh pihak polis, satu das tembakan telah dilepaskan ke arah suspek dan terkena di bahagian bahu kirinya. Suspek telah rebah ke lantai, manakala mangsa berjaya diselamatkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah beliau, polis kemudian menghubungi pasukan perubatan bagi membantu suspek yang cedera namun, lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Keadaan mangsa stabil, manakala hasil bedah siasat terhadap suspek yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh pada Rabu mendapati punca kematian adalah disebabkan luka tembakan pada dada kiri.

“Selain itu, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas lelaki berkenaan mendapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh serta mati mengejut (SDR),” katanya lagi.

Difahamkan suspek yang mempunyai dua rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan dadah itu bekerja sebagai buruh kampung dengan mengusahakan kebun sawit milik keluarganya.