Skip to main content

Malaysia

Lelaki maut, lima rumah terbakar di Kepong

Sumber: Bomba Selangor
Kebakaran turut memusnahkan dua buah kenderaan iaitu sebuah Hyundai Getz dan sebuah Hyundai XG 250, kedua-duanya terbakar sepenuhnya. - Gambar JBPM Selangor

KEPONG: Seorang lelaki ditemukan maut dalam kejadian kebakaran membabitkan lima buah rumah teres satu tingkat di Jalan E5/11, Taman Ehsan Kepong, di sini, awal pagi Khamis.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.31 pagi sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang tiba di lokasi kira-kira 19 minit kemudian.

Advertisement

"Kebakaran melibatkan lima buah rumah kelas A berkeluasan 20 x 60 kaki persegi setiap satu, dengan tahap kemusnahan dianggarkan antara 20 hingga 100 peratus. Api berjaya dikawal pada jam 3.42 pagi.

"Pada jam 4.29 pagi, seorang mangsa lelaki berumur 53 tahun ditemukan rentung di atas katil dalam sebuah bilik tidur. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Ahmad Mukhlis berkata, kebakaran turut memusnahkan dua buah kenderaan iaitu sebuah Hyundai Getz dan sebuah Hyundai XG 250, kedua-duanya terbakar sepenuhnya.

"Sebuah rumah musnah sepenuhnya, dua rumah terbakar 80 peratus manakala dua lagi masing-masing mengalami kerosakan sekitar 20 peratus," ujarnya.

Katanya, operasi pemadaman melibatkan anggota dari BBP Selayang dengan bantuan BBP Rawang, BBP Jinjang dan BBP Manjalara, dengan kekuatan keseluruhan seramai 27 anggota serta beberapa jentera termasuk Fire Rescue Tender (FRT), Water Tanker (WT), Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS).

"Kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 7.15 pagi dan kerja-kerja overhaul masih dijalankan bagi memastikan tiada punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

"Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya. 

Must Watch Video