NATIONAL
Lelaki maut, seorang cedera kemalangan di Hulu Selangor

Kemalangan berlaku membabitkan dua buah kereta di Jalan Sungai Choh-Bukit Beruntung kira-kira jam 9.30 malam tadi, melibatkan seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah. - Foto PDRM
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Jalan Sungai Choh-Bukit Beruntung malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa yang maut merupakan seorang lelaki berusia 23 tahun yang memandu kereta jenis Proton Satria.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas terperangkap di dalam kenderaannya sebelum dikeluarkan oleh pihak bomba.
"Siasatan awal mendapati Proton Satria yang dipandu mangsa sedang dalam perjalanan dari Gombak menuju ke Bukit Beruntung."Secara tiba-tiba sebuah Proton Iriz yang dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun dari arah bertentangan memasuki laluan dan bertembung dengan kenderaan mangsa.
“Pemandu Proton Iriz mengalami kecederaan dalaman dan telah dikejarkan ke Zon Merah Hospital Selayang untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian untuk tampil membantu siasatan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami