Skip to main content

Malaysia

Lelaki maut terkena renjatan elektrik disyaki cuba curi kabel

Polis mengesahkan seorang lelaki ditemukan maut akibat terkena renjatan elektrik, disyaki ketika cuba mencuri kabel milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kapar, Klang pagi tadi. - Foto SINAR HARIAN
Polis mengesahkan seorang lelaki ditemukan maut akibat terkena renjatan elektrik, disyaki ketika cuba mencuri kabel milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kapar, Klang pagi tadi. - Foto SINAR HARIAN

Advertisement

SHAH ALAM: Polis mengesahkan seorang lelaki ditemukan maut akibat terkena renjatan elektrik, disyaki ketika cuba mencuri kabel milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kapar, Klang dekat sini pagi tadi. 

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Ramsay Embol berkata mayat warganegara tempatan berusia lingkungan 40-an itu ditemukan orang awam sebelum anggota polis digerakkan ke lokasi kejadian. 

“Siasatan mendapati mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik semasa melakukan jenayah curi kabel, kedudukan dan tangan mangsa masih melekat pada kabel milik TNB. 

“Turut ditemukan peralatan memotong kabel bersama mangga dan motosikal yang digunakan mangsa ditinggalkan di lokasi kejadian. Waris keluarga telah mengecam mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Ramsay berkata kes disiasat sebagai laporan mati mengejut (SDR) dan mayat dihantar ke Hospital UiTM Puncak Alam untuk proses bedah siasat. 

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Mejar Azhar di talian 012-349 5921 bagi membantu siasatan,” katanya. 

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video

Advertisement