BUTTERWORTH: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth pada Jumaat atas empat pertuduhan rogol, persetubuhan luar tabii dan samun minggu lalu.

Zul Mazuan Zul Hilman@Suresh Kumar, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang wanita warga Myanmar dengan memasukkan kemaluan ke dalam mulut mangsa.

Dia turut menghadapi pertuduhan merogol sambil mengacukan pisau ke arah mangsa selain menyamun mangsa sebanyak RM200.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Inderawasih, Perai kira-kira pukul 4 pagi, 12 Oktober lalu.

Dalam pada itu, tertuduh turut menghadapi satu lagi pertuduhan menyamun seorang wanita tempatan sebanyak RM200 di Medan Kikik 1, Taman Inderawasih, Perai kira-kira pukul 5.15 pagi pada 9 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan, Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang  dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aisyah Al Humayrah Kamarulzaman dan Nur Fazliyana Ahmad.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan terbabit dan menetapkan 29 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.