JOHOR BAHRU: Seorang remaja lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Isnin atas dakwaan merogol seorang remaja perempuan bawah umur di Layang-Layang, Kulai, tahun lalu.

Remaja berusia 18 tahun itu membuat pengakuan berkenaan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Siti Noraida Sulaiman.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Jun sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Nor Fadilah Johanuddin dan Nur Farah Wahida Shahudin.

Tertuduh pula diwakili peguam, Mohammad Muzammil Mohammad Hairiri.

Terdahulu dalam satu kenyataan, Ketua Polis Daerah Kulai, Superitenden Tok Beng Yeow berkata, suspek ditahan sekitar 6 petang, 15 Mei lalu di sebuah rumah di Kluang.

Katanya, suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai untuk siasatan lanjut.

“Polis menerima laporan daripada seorang wanita warga tempatan berumur 56 tahun sekitar 5.59 pagi, 15 Mei lalu memaklumkan dia mendengar anak perempuannya berusia 15 tahun menjerit kesakitan di dalam tandas lebih kurang 1.30 pagi.

“Pengadu kemudiannya melihat ada janin dalam mangkuk tandas..dia (pengadu) kemudiannya mengambil janin tersebut dan membawa anak perempuannya bersama janin tersebut untuk menerima rawatan.

“Bedah siasat ke atas janin tersebut dijalankan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan dilaporkan usia janin lebih kurang 28 minggu...tiada kecederaan seperti tekanan, paksaan dan kecederaan luaran pada janin berkenaan.

“Mangsa memberitahu dirogol oleh suspek lelaki warga tempatan yang dikenalinya tanpa kerelaan di belakang rumah mangsa,” katanya. - Sinar Harian