SEREMBAN: Seorang lelaki yang mengamuk dan memaki pengguna jalan raya di persimpangan lampu isyarat berdekatan Centrepoint Seremban, di sini didapati mempunyai rekod rawatan mental.

Ketua Polis daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, lelaki berusia 38 tahun itu hadir di Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban bagi membantu siasatan pada jam 8.30 pagi Jumaat.

"Bertindak atas maklumat yang diperoleh, polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Seremban menghubungi pemilik kenderaan tersebut sebelum lelaki berkenaan hadir ke balai trafik.

"Lelaki berkenaan turut mengesahkan dia merupakan individu yang terlibat dalam rakaman tular itu.

"Siasatan menunjukkan lelaki itu mempunyai rekod rawatan mental di wad psikiatrik Hospital Tuanku Jaafar, Seremban dan masih menjalani rawatan susulan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

BACA: Lelaki tular mengamuk, maki pengguna jalan raya di lampu isyarat

Ujarnya, lelaki berkenaan turut mengakui ketika kejadian pada Selasa lepas dia dalam keadaan tertekan dan gagal mengawal diri.

"Tiada sebarang kecederaan dilaporkan ketika kejadian itu berlaku dan kes disiasat di bawah Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana membuat galangan disebabkan kenderaan di atas jalan.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih daripada RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau kedua-duanya," katanya.

Pada Khamis kira-kira jam 10 malam tular satu rakaman video di laman sosial Facebook Inforoadblock berdurasi satu minit 32 saat memaparkan seorang lelaki memberhentikan kenderaan jenis Perodua Alza berwarna biru, keluar dari kenderaan lalu menjerit dan mengamuk.

Perbuatannya itu mendatangkan ketakutan kepada pengguna jalan raya yang lain.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan polis sudah mengenal pasti lelaki yang tular dalam rakaman video berkenaan dan siasatan lanjut masih diteruskan.


*Berita asal di Sinar Harian