BAYAN LEPAS: Seorang lelaki yang mempunyai 22 rekod jenayah maut selepas terkena tembakan yang dilepaskan oleh polis dalam kejadian di Jalan Air Terjun, Bayan Lepas Pulau Pinang, awal pagi Ahad.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, polis terpaksa melepaskan tembakan selepas suspek menyerang anggota polis menggunakan senjata parang sehingga menyebabkan seorang anggota cedera.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, akibat tembakan tersebut suspek yang berusia 34 tahun dan tidak bekerja itu rebah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Jelas Kamarul Rizal, suspek warga tempatan yang merupakan orang dikehendaki polis berkenaan dikesan berada di lokasi kejadian sebelum dua anggota polis cuba menahannya.

Bagaimanapun sebaik sahaja menyedari kehadiran anggota polis, suspek bertindak agresif dengan menyerang menggunakan sebilah parang menyebabkan seorang anggota polis cedera di bahagian tangan.

“Apabila sampai di kawasan kebun Air Terjun Bayan Lepas secara tiba-tiba suspek telah menyerang anggota polis. Walaupun anggota telah menjerit "Polis" namun suspek bertindak menyerang salah seorang anggota dengan parang sehingga menyebabkan anggota mengalami kecederaan di tangan kanan,” kata Kamarul Jenal.

“Ekoran dari itu, polis telah melepaskan dua das tembakan ke arah suspek untuk mempertahankan diri dan keselamatan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut Kamarul Rizal, anggota polis kemudiannya menghubungi ambulans bagi menyelamatkan suspek, namun pegawai kesihatan yang tiba sejurus kejadian mengesahkan suspek sudah meninggal dunia.

Difahamkan, suspek tinggal di dalam kawasan hutan itu bagi mengelakkan dikesan pihak polis susulan terlibat dalam kes pecah rumah dan curi di sekitar daerah Barat Daya.

Siasatan mendapati suspek yang dikehendaki polis itu mempunyai 15 rekod jenayah berkaitan narkotik serta tujuh rekod jenayah lain membabitkan samun dan mencuri.

Mayat suspek dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat manakala kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.