SEPANG: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menggagalkan cubaan seorang lelaki Myanmar membawa masuk tikus salai seberat 15 kilogram (kg) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, Isnin lalu.

Pengarah Maqis Negeri Selangor, Mohd Sobri Md Hashim berkata, dagangan itu dibawa masuk tanpa kebenaran.

"Kesemua tikus salai itu dikesan ketika pemeriksaan bagasi menerusi mesin pengimbas terhadap seorang penumpang dari Myanmar.

"Rampasan dianggarkan bernilai RM300 itu berjaya dikesan dengan bantuan mesin pengimbas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan pemeriksaan oleh pegawai Maqis,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, perbuatan mengimport keluaran hasilan haiwan tanpa permit sah adalah menjadi kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta yang sama.

Jelasnya, individu berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tambah beliau, pihaknya sentiasa mengambil langkah serius dalam isu berkenaan bersama agensi penguatkuasaan di sempadan kerana ia membabitkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam sektor pertanian negara.

"Semua sedia maklum, tikus boleh menyebabkan penyakit berjangkit secara langsung dan tidak langsung.

“Sehubungan itu, tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara,” katanya. - Sinar Harian